Pengikut

Translate

Ahad, 5 Ogos 2012

Ikhlas Dalam Berdakwah

Ikhlas adalah kalimat yang sering kita ucapkan dan 
dengar dalam kehidupan sehari-hari. Dalam bahasa arab, orang yang ikhlas disebut sebagai mukhlis. Ikhlas didefinisikan oleh para ulama' sebagai 'beramal semata-mata kerana Allah.' Allah SWT berfirman: (Iblis) berkata: " Demi kemuliaanMu, aku akan pasti menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu daripada kalangan al-Mukhlasin di antara mereka". [Surah Shad (38): 82-83] 

 Al-Qurthubi di dalam tafsirnya mengatakan bahawa kalimat al-Mukhlasin di akhir ayat di atas adalah merujuk kepada orang-orang yang ditanamkan (dalam hatinya) keikhlasan oleh Allah SWT dalam mengabdikan diri kepadaNya [al-Qurthubi XV/229]. Oleh yang demikian, al-Mukhlasin yang disebutkan di sini bermaksud al-Mukhlisin (orang-orang yang ikhlas). 

 Betapa tingginya kedudukan orang-orang yang ikhlas ini sehinggakan iblis pun tidak sanggup untuk menyesatkan mereka. Bahkan Saidina Umar Al-Khattab ra pernah bermunajat di dalam doanya, “ Ya Allah, jadikanlah amalku sebagai amal yang soleh, jadikanlah ia ikhlas semata-mata kerana wajahMu” (Fauzi Sanqarth, at-Taqarrub Ilallah, m/s 11). Malah, ramai para ulama' memberikan tumpuan yang luar biasa dalam perkara ini sehinggakan banyak buku-buku diterbitkan untuk membahaskan tentang makna sebenar ikhlas. 

 Ikhlas Buahnya Adalah Ihsan Ikhlas adalah amalan kalbu (hati). Walaupun ia tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah, namun ia dapat diukur melalui amalan zahir yang dilakukan oleh pelakunya. Perlu diketahui bahawa ikhlas bukanlah sekadar tidak melakukan riya’ dan sum’ah. Ketika kita ikhlas dalam beramal, yakni beramal semata-mata hanya kerana Allah, bererti kita perlu menunjukkan bahawa amal kita hanya dipersembahkan untukNya dan bukan untuk selain daripadaNya. Persoalannya, adakah sesuatu yang ingin dipersembahkan hanya untuk Allah itu dilakukan dengan ala kadar sahaja atau ian perlu dilakukan dengan penuh berkualiti, istimewa dan bersungguh-sungguh? 



 Kita dapat melihat bagaimana seseorang yang ingin mempersembahkan sesuatu untuk orang yang dicintainya, tentu ia akan melakukannya dengan penuh bersungguh-sungguh dan dengan persembahan yang paling istimewa. Bukan dengan ala kadar, jauh sekali dengan kualiti yang buruk. Begitulah keadaan yang sepatutnya, jika seseorang yang ikhlas melakukan sesuatu perkara hanya untuk Allah sebagai satu bentuk penghambaan kepada penciptanya, tentu ia akan melakukannya dengan amalan yang terbaik dan yang teristimewa untukNya. Akhirnya, ikhlas yang terhasil akan membuahkan ihsan, yakni melakukan amalan yang terbaik sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. 

Ikhlas Dalam Berdakwah

 Jika dikaitkan dengan aktiviti dakwah, ikhlas dalam berdakwah adalah merujuk kepada dakwah yang dilakukan secara berkualiti, terbaik dan penuh dengan kesungguhan. Seseorang da’i (pendakwah) yang ikhlas akan sentiasa melakukan dakwah yang berkualiti dan terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Pendek kata, ihsan akan tumbuh di dalam dirinya ketika ia melakukan dakwah. Ini adalah kerana aktiviti dakwah merupakan suatu kewajipan dan perintah daripada Allah SWT. Sebaliknya, jika da’i tersebut tidak ikhlas, maka ia akan melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwahnya dengan tidak bersungguh-sungguh, ala kadar dan sekadar 'cukup syarat' sahaja. Seolah-olah, dakwah tersebut dilakukan bukan untuk Allah SWT. Dalam beberapa kitab, para ulama' telah menyimpulkan beberapa ciri da’i yang mana aktiviti-aktiviti dakwah yang dilakukannya tidak diiringi dengan keikhlasan kepada Allah SWT. 

Antaranya: 

 1) Hanya melakukan dakwah ketika waktu lapangnya sahaja. 

 2) Melakukan dakwah dengan sikap yang malas. Ia jarang sekali berdakwah ataupun sering mengabaikan dakwah. 

 3) Kalau pun ia berdakwah, ia akan berusaha melemparkan beban dan tanggungjawab sesuatu dakwah itu kepada orang lain. Jika ada kesempatan, ia akan cuba mengelak daripada sesuatu bebanan tugas dakwah yang diberikan kepadanya. 

 4) Tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu tugasan dakwah yang diberikan kepadanya. 

 5) Mudah berputus asa dan mudah kecewa ketika menghadapi pelbagai ujian dan rintangan dalam berdakwah. 

 Dengan merenung kelima-lima ciri di atas, seseorang yang mengaku dirinya sebagai hamlud dakwah (pemikul tugas dakwah) tentu dapat menilai dirinya sendiri, sejauh manakah dakwah yang dilakukannya itu ikhlas ataupun sebaliknya. 

Ini sekaligus dapat memastikan sama ada amalannya dapat diterima oleh Allah ataupun tidak. Amatlah rugi jika amalan yang dilakukannya itu ditolak oleh Allah SWT. Allah dan RasulNya telah menempatkan kedudukan yang tinggi dan terpuji bagi orang-orang yang mengerjakan amalan dakwah. 

Allah SWT berfirman: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (dakwah) kepada Allah dan ia mengerjakan amal soleh dan berkata, 'Sesungguhnya aku tergolong daripada orang-orang Muslim'” [Surah Fushilat (41): 33] 

Rasulullah saw juga bersabda: “Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada petunjuk (al-Huda), maka baginya pahala yang setimpal dengan pahala yang ia lakukan (dakwah)” [HR Muslim] 


Justeru, dakwah sebenarnya adalah merupakan kewajipan (fardhu) bagi umat Islam dan bukannya amalan sunat. Bahkan, ia sekali-kali tidak boleh diganti dengan sesuatu kafarah (tebusan) apa pun jika ia ditinggalkan. Maka adalah wajar jika para Nabi dan Rasul menjadikan amalan dakwah ini sebagai misi di dalam hidup mereka. 

Hal ini dapat kita lihat daripada ucapan Nabi Nuh as, sebagaimana yang dirakam di dalam al-Quran: “Dia (Nuh) bekata, 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam'”. [Surah Nuh (71): 5] 

 Nabi Nuh as berdakwah menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah SWT lebih kurang 950 tahun. Ia dilakukan pada siang dan malam tanpa jemu terhadap umatnya. 

Demikian pula yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad saw selama 23 tahun sejak baginda diangkat menjadi Rasul Allah. Ini semua menunjukkan betapa para Nabi dan Rasul mengerjakan amanah dakwah ini dengan penuh keikhlasan. Mereka mempertaruhkan usia, tenaga, fikiran, harta benda bahkan nyawa mereka di jalan dakwah.

 Moga-moga kita semua dapat memuhasabah diri masing-masing dengan melihat sejauh manakah keikhlasan kita dalam melaksanakan amalan dakwah dalam kehidupan seharian kita. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar mukhlis (ikhlas), yang senantiasa mengikhlaskan amalan dakwah semata-mata kerana Allah SWT, dengan mempersembahkan amalan dakwah yang terbaik untukNya.

Tiada ulasan:

Catatan Popular