Pengikut

Translate

Ahad, 5 Ogos 2012

Ikhlas Dalam Berdakwah

Ikhlas adalah kalimat yang sering kita ucapkan dan 
dengar dalam kehidupan sehari-hari. Dalam bahasa arab, orang yang ikhlas disebut sebagai mukhlis. Ikhlas didefinisikan oleh para ulama' sebagai 'beramal semata-mata kerana Allah.' Allah SWT berfirman: (Iblis) berkata: " Demi kemuliaanMu, aku akan pasti menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu daripada kalangan al-Mukhlasin di antara mereka". [Surah Shad (38): 82-83] 

 Al-Qurthubi di dalam tafsirnya mengatakan bahawa kalimat al-Mukhlasin di akhir ayat di atas adalah merujuk kepada orang-orang yang ditanamkan (dalam hatinya) keikhlasan oleh Allah SWT dalam mengabdikan diri kepadaNya [al-Qurthubi XV/229]. Oleh yang demikian, al-Mukhlasin yang disebutkan di sini bermaksud al-Mukhlisin (orang-orang yang ikhlas). 

 Betapa tingginya kedudukan orang-orang yang ikhlas ini sehinggakan iblis pun tidak sanggup untuk menyesatkan mereka. Bahkan Saidina Umar Al-Khattab ra pernah bermunajat di dalam doanya, “ Ya Allah, jadikanlah amalku sebagai amal yang soleh, jadikanlah ia ikhlas semata-mata kerana wajahMu” (Fauzi Sanqarth, at-Taqarrub Ilallah, m/s 11). Malah, ramai para ulama' memberikan tumpuan yang luar biasa dalam perkara ini sehinggakan banyak buku-buku diterbitkan untuk membahaskan tentang makna sebenar ikhlas. 

 Ikhlas Buahnya Adalah Ihsan Ikhlas adalah amalan kalbu (hati). Walaupun ia tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah, namun ia dapat diukur melalui amalan zahir yang dilakukan oleh pelakunya. Perlu diketahui bahawa ikhlas bukanlah sekadar tidak melakukan riya’ dan sum’ah. Ketika kita ikhlas dalam beramal, yakni beramal semata-mata hanya kerana Allah, bererti kita perlu menunjukkan bahawa amal kita hanya dipersembahkan untukNya dan bukan untuk selain daripadaNya. Persoalannya, adakah sesuatu yang ingin dipersembahkan hanya untuk Allah itu dilakukan dengan ala kadar sahaja atau ian perlu dilakukan dengan penuh berkualiti, istimewa dan bersungguh-sungguh? 



 Kita dapat melihat bagaimana seseorang yang ingin mempersembahkan sesuatu untuk orang yang dicintainya, tentu ia akan melakukannya dengan penuh bersungguh-sungguh dan dengan persembahan yang paling istimewa. Bukan dengan ala kadar, jauh sekali dengan kualiti yang buruk. Begitulah keadaan yang sepatutnya, jika seseorang yang ikhlas melakukan sesuatu perkara hanya untuk Allah sebagai satu bentuk penghambaan kepada penciptanya, tentu ia akan melakukannya dengan amalan yang terbaik dan yang teristimewa untukNya. Akhirnya, ikhlas yang terhasil akan membuahkan ihsan, yakni melakukan amalan yang terbaik sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. 

Ikhlas Dalam Berdakwah

 Jika dikaitkan dengan aktiviti dakwah, ikhlas dalam berdakwah adalah merujuk kepada dakwah yang dilakukan secara berkualiti, terbaik dan penuh dengan kesungguhan. Seseorang da’i (pendakwah) yang ikhlas akan sentiasa melakukan dakwah yang berkualiti dan terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Pendek kata, ihsan akan tumbuh di dalam dirinya ketika ia melakukan dakwah. Ini adalah kerana aktiviti dakwah merupakan suatu kewajipan dan perintah daripada Allah SWT. Sebaliknya, jika da’i tersebut tidak ikhlas, maka ia akan melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwahnya dengan tidak bersungguh-sungguh, ala kadar dan sekadar 'cukup syarat' sahaja. Seolah-olah, dakwah tersebut dilakukan bukan untuk Allah SWT. Dalam beberapa kitab, para ulama' telah menyimpulkan beberapa ciri da’i yang mana aktiviti-aktiviti dakwah yang dilakukannya tidak diiringi dengan keikhlasan kepada Allah SWT. 

Antaranya: 

 1) Hanya melakukan dakwah ketika waktu lapangnya sahaja. 

 2) Melakukan dakwah dengan sikap yang malas. Ia jarang sekali berdakwah ataupun sering mengabaikan dakwah. 

 3) Kalau pun ia berdakwah, ia akan berusaha melemparkan beban dan tanggungjawab sesuatu dakwah itu kepada orang lain. Jika ada kesempatan, ia akan cuba mengelak daripada sesuatu bebanan tugas dakwah yang diberikan kepadanya. 

 4) Tidak bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu tugasan dakwah yang diberikan kepadanya. 

 5) Mudah berputus asa dan mudah kecewa ketika menghadapi pelbagai ujian dan rintangan dalam berdakwah. 

 Dengan merenung kelima-lima ciri di atas, seseorang yang mengaku dirinya sebagai hamlud dakwah (pemikul tugas dakwah) tentu dapat menilai dirinya sendiri, sejauh manakah dakwah yang dilakukannya itu ikhlas ataupun sebaliknya. 

Ini sekaligus dapat memastikan sama ada amalannya dapat diterima oleh Allah ataupun tidak. Amatlah rugi jika amalan yang dilakukannya itu ditolak oleh Allah SWT. Allah dan RasulNya telah menempatkan kedudukan yang tinggi dan terpuji bagi orang-orang yang mengerjakan amalan dakwah. 

Allah SWT berfirman: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru (dakwah) kepada Allah dan ia mengerjakan amal soleh dan berkata, 'Sesungguhnya aku tergolong daripada orang-orang Muslim'” [Surah Fushilat (41): 33] 

Rasulullah saw juga bersabda: “Barangsiapa yang menyeru (manusia) kepada petunjuk (al-Huda), maka baginya pahala yang setimpal dengan pahala yang ia lakukan (dakwah)” [HR Muslim] 


Justeru, dakwah sebenarnya adalah merupakan kewajipan (fardhu) bagi umat Islam dan bukannya amalan sunat. Bahkan, ia sekali-kali tidak boleh diganti dengan sesuatu kafarah (tebusan) apa pun jika ia ditinggalkan. Maka adalah wajar jika para Nabi dan Rasul menjadikan amalan dakwah ini sebagai misi di dalam hidup mereka. 

Hal ini dapat kita lihat daripada ucapan Nabi Nuh as, sebagaimana yang dirakam di dalam al-Quran: “Dia (Nuh) bekata, 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam'”. [Surah Nuh (71): 5] 

 Nabi Nuh as berdakwah menyeru kepada umatnya agar beriman kepada Allah SWT lebih kurang 950 tahun. Ia dilakukan pada siang dan malam tanpa jemu terhadap umatnya. 

Demikian pula yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad saw selama 23 tahun sejak baginda diangkat menjadi Rasul Allah. Ini semua menunjukkan betapa para Nabi dan Rasul mengerjakan amanah dakwah ini dengan penuh keikhlasan. Mereka mempertaruhkan usia, tenaga, fikiran, harta benda bahkan nyawa mereka di jalan dakwah.

 Moga-moga kita semua dapat memuhasabah diri masing-masing dengan melihat sejauh manakah keikhlasan kita dalam melaksanakan amalan dakwah dalam kehidupan seharian kita. Kita berdoa kepada Allah SWT agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar mukhlis (ikhlas), yang senantiasa mengikhlaskan amalan dakwah semata-mata kerana Allah SWT, dengan mempersembahkan amalan dakwah yang terbaik untukNya.

Rabu, 25 Julai 2012

Ramadhan Bulan Penuh Rahmah

Ustazah Nasirah


Assalamualaikum buat semua readers yang dikasihi


Hari ini nak kongsi sikit beberapa perkara berkaitan ramadhan yang perlu kita ingati dan yang sering kita lupa , almaklum kadang -kadang manusia macam kita nie kan mudah lupa tapi sebagai nisa' yang memahami apa yang diperintahkan oleh Allah serta mentaaati segala suruhannya, kami ingin mengambil sedikit masa anda untuk sama-sama merenung kembali sabda Rasulullah SAW yang menyatakan mengenai ramadhan iaitu :


Barangsiapa yang menghidupkan bulan ramadan dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan, nescaya dia akan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan pada bulan-bulan sebelumnya.


Ini menunjukkan bahawa bulan Ramadhan yang sedang kita lalui ini merupakan satu bulan yang cukup istimewa dan cukup bermakna khususnya pada ummat islam seperti kita. Pada bulan ini jugalah diturunkan Al-Quran yang menjadi pedoman dan pertunjuk kepada kita selamanya hingga hari Qiamat.


Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Al-Qadr, ayat 1 yang bermaksud " Sesungguhnya telah kami turunkan Al-Quran pada malam lailatul Qadar". Dalam bulan ramadhan juga terdapat satu malam yang cukup bernilai dan tidak ternilai harganya iaitu Malam Lailatul Qadar.


Malam Lailatul Qadar merupakan malam yang terbaik yang dikurniakan oleh Allah kepada kita khususnya ummat Muhammad SAW. Malam yang diibaratkan beribadat dimalamnya seumpama beribadat selama seribu bulan atau 83 tahun.Insya Allah pada kesempatan yang lain, kita akan sambung berkaitan malam lailatul qadar dan keistimewaannya serta kesalahfahaman berkaitan malam lailatul qadar dalam masyarakat melayu .. Salam Ramadhan .. Wassalam

Tazkirah Ramadhan

Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.

 Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.

 Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah : (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan : (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.) 

Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu.

Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). 

Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!

Ahad, 3 Jun 2012

Zainab Al Ghazali - Tokoh Mujahidah Alaf Baru

Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. 

Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam. Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. 

Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. 


Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.






Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata: “Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.” Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. 

Zainab al-Ghazali meyakinin bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut. Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. 

Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau.


Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam. Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. 

Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan). .Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. 

Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

 Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa. Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. 

Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

Ikhlas Kunci Kebahagiaan Hakiki

Ikhlas adalah rahsia :

 a. Di sebalik kejayaan setiap amal manusia.
 b. Penyelamat hati manusia.
 c. Menuju kebahagian yang hakiki.

 Ia adalah ilmu yang lain dari yang lain. 
1. Orang yang merasa telah mendapatkannya boleh jadi telah kehilangannya pada masa yang sama. 
2. Orang yang mendakwa menguasainya dengan mahir bererti dia tidak dapat menguasainya. 
3. Orang yang mengaku mampu mengajarkannya adalah orang masih perlu belajar lagi tentangnya. Nilai sebuah amal atau perbuatan ditentukan oleh seberapa tulus niat kita.

 Perbuatan yang dimaksudkan tentunya adalah yang termasuk ketaatan atau perkara yang dibolehkan dan bukan perkara-perkara yang dilarang. Tidak ada istilah ikhlas untuk perbuatan-perbuatan yang tergolong dalam kategori kemaksiatan. Ketulusan niat hendaklah diukur sebelum, semasa dan selepas kita melaksanakan suatu amal.

 Kita semestinya perlu ikhlas pada ketiga-tiga tahap tersebut dan tidak hanya pada salah satunya. 

PERTAMA : IKHLAS SEBELUM MELAKSANAKAN 

Ia bererti kita berniat untuk melakukan suatu perbuatan demi Allah semata-mata dan bukan untuk memperolehi pujian, penghargaan ataupun balasan dari orang. Begitu juga ia bukan pula demi harta, jawatan ataupun kemasyhuran di khalayak ramai. Ikhlas sebelum melaksanakan juga bererti berkehendak melakukan suatu perbuatan bukan kerana dorongan emosi negatif (seperti kemarahan) dari dalam diri atau kerana ingin memberi reaksi terhadap sesuatu situasi (seperti kerana di maki hamun).

 KEDUA : IKHLAS SEMASA MELAKSANAKAN 

Ia bererti kita membaguskan perbuatan kita hanya kerana rasa ingatan kita kepada Allah bukan kerana ingatan kita kepada manusia kerana kita sentiasa merasa diawasi oleh Allah bukan kerana merasa sedang diamati oleh manusia. Selain itu, ia juga bererti tidak melaksanakan sesuatu dengan sikap bermalasan-malasan dan tidak mudah menyerah kalah, panik atau putus asa ketika bertemu dengan kesulitan atau halangan. Dalam masa yang sama, jiwa kita sentiasa stabil tanpa membayangkan bagaimana kita akan dinilai, dipuji atau dihormati ketika nanti menyempurnakan perbuatan tersebut ataupun sebaliknya iaitu merasa resah membayangkan anggapan orang-orang yang nantinya akan meremehkan diri kita. 

 KETIGA : IKHLAS SELEPAS MELAKSANAKAN 

Ia bererti kita tetap mengingati Allah di saat kita disanjung ataupun dicela, tidak sombong ketika dipuji dan tidak kesal semasa dimaki.Kita menisbahkan kemampuan melaksanakan sesuatu itu kepada Allah dan kita tidak mengharapkan kemampuan kita sendiri dan menyerahkan hasil perbuatan kita kepada Allah dan tidak memandang bahwa hasilnya mesti seperti harapan atau kemahuan kita. Selain itu, ia juga memberi makna bahwa kita tidak mengharapkan balasan, pujian ataupun ucapan terima kasih di samping tidak mengungkit-ngungkit perbuatan yang telah lalu dan tidak mempamirkan atau menyombongkannya kepada orang lain dan tidak mmbanggakannya dalam hati serta tidak tersinggung walaupun tidak disebut-sebut oleh orang.

Muffin Pandan


MUFFIN PANDAN
sumber: kak Yatie


Bahan-Bahan
180 g mentega (unsalted butter)
140 g gula halus
2 biji telur
80 ml susu segar
1 camca teh esen vanilla
220 gm tepung gandum*
2 sk baking powder*(*disatukan dan diayak)
1 camca teh pandan paste

Cara membuatnya


Putar mentega, masukkan gula dan putar hingga putih. Masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang. Masukkan esen vanilla dan putar lagi.
Perlahankan speed dan masukkan tepung berselang seli dengan susu cair hingga habis. Gaul rata. Akhir sekali masukkan pandan paste dan gaul rata.
Sudukan ke dalam acuan muffin kegemaran 3/4 penuh dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 20 - 25 minit atau hingga masak. Bergantung pada oven masing2..



Ingatan Buatmu Muslimah

Berikut Adalah Pesanan Rasulullah SAW kepada kita sebagai muslimah dan wanita.




Kenapa Kena Tutup Aurat -UZAR

Jom Kite Dengar Kenapa Islam Anjur Tutup Aurat bersama Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR)

 

Indahnya Bertudung Labuh

Siti Nazimah Daud (usim) 

Agama Islam amat menitik beratkan soal penutupan aurat bagi setiap umatnya. Media massa hari ini juga sering mengwar-warkan kempen penutupan aurat ini. Terutamanya penutupan aurat bagi kaum Muslimah. Tetapi apakah kesan daripada itu, adakah ramai mengambil iktibar daripada kempen itu, atau ianya sekadar maklumat tambahan yang harus didengar sahaja tanpa ada sebarang tindak balas terhadapnya? Seperti kata pepatah "umpama mencurahkan air ke daun keladi" Begitulah simboliknya jika maklumat yang disampaikan itu tidak diambil peduli oleh yang mendengar. Sebagai permulaan bicara, diri ini sebagai seorang remaja kampus, seorang Muslimah yag masih cetek ilmu agamanya yang sedang berusaha memperbaiki diri bagi mengejar redha Ilahi. 

Meletakkan tanggungjawab mencari ilmu mengatasi perkara yang lain. Mengimpikan diri agar menjadi wanita solehah sebagaimana yang dituntut oleh Sang Pencipta. Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita Solehah." Hadis ini seringkali menjadi motivasi ketika diri diuji indahnya perhiasan duniawi. Hati rasa sedikit cemburu melihat penampilan rakan-rakan sebaya yang cantik bergaya mengenakan perhiasan tudung seperti selendang atau tudung segera yang berwarna-warni, berbagai bentuk dan beraneka corak mengikut gaya lilitan yang segala bagai dengan mengenakan busana yang moden lagi kontemporari. Ini sudah pasti akan menyerlahkan lagi si pemakainya dan dengan itu mereka akan menjadi tumpuan mata-mata ghairah si arjuna yang dahagakan kecantikan zahiriah wanita semata. 

 Diri yang lemah imannya ini terus diuji. Minda berputar ligat berimaginasi, bisik hati kecil ini 'Alangkah bagusnya jika aku berpakaian seperti mereka, sudah pasti aku juga akan kelihatan cantik dan pasti setiap mata arjuna tidak lepas daripada memandang keindahanku, selama ini aku berpakaian umpama membungkus diri yang tidak menampakkan apa-apa bentuk tubuh dan gaya tarikan yang menawan, mustahil untuk lelaki memandang dan mendekatiku.' Diri ini segera beristighfar tatkala tersedar dari kelalaian mendengar bisikan syaitan itu. Seringkali terasa penampilan diri ini ketinggalan zaman dan tidak mengikuti arus transformasi fesyen terkini, kerana hanya pandai mengenakan tudung labuh yang warnanya tidak terang, serta memakai jubah dan baju kurung yang bercorak biasa sahaja.

 Alangkah sederhananya penampilan diri ini jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Hati juga turut terusik melihat rakan-rakan sebilik yang rancak berdandan lama menghiaskan wajah dengan solekan beralaskan bedak, celak dan gincu yang agak tebal di hadapan cermin. Ini sudah pasti akan mengiurkan mata-mata yang memandangnya. Berbanding diri ini yang hanya menghamparkan wajah tanpa secalit solekan dan hanya beralaskan sedikit bedak bagi mengelakkan wajah dari kelihatan pucat dan tidak bermaya kepada rakan-rakan. Masa yang diambil untuk bersiap juga hanya sekejap. Selain itu, rakan-rakan juga sering mengajak untuk keluar berseronok ke tempat-tempat membeli-belah, tempat keramaian dan sebagainya. Tetapi diri ini menolak dengan cara yang baik. 

Penolakan ini kerana timbul perasaan rendah diri untuk berada di khalayak ramai di samping rakan-rakan yang berhias cantik bergaya. Berbanding diri yang serba sederhana dalam penampilan. Jika diri ini pergi juga mungkin tidak pandai untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di sana juga. Lebih baik berehat di rumah sahaja dan menyiapkan tugasan perlu diselesaikan. Mungkin disebabkan perkara itu mereka tidak senang dengan sikap diri ini yang agak pelik pada pandangan mereka. Pada usia ini, menjadi lumrah setiap remaja untuk mempunyai pasangan kekasih masing-masing. Bagusnya mereka kerana sudah mempunyai teman lelaki yang boleh menumpang kasih. Tetapi diri ini hanya bertemankan keluarga semata, selain Allah dan Rasul yang pertama. Tiada insan bernama lelaki yang boleh memadu kasih, tiada insan istimewa yang sudi memberi kasih. Bagaimana diri ini mahu berkahwin kelak jika tidak mencari pasangan mulai sekarang? Persoalan itu sering terngiang-ngiang di sanubari.

 Hal ini juga dapat dirasakan apabila rakan-rakan lelaki seolah-olah menjauhi dan tidak mahu mendekati diri ini, hanya urusan penting sahaja mereka akan datang berurusan. Tetapi diri ini tidak pernah mengambil kisah berkenaan hal itu kerana dalam Islam menuntut kita untuk berkomunikasi dengan lelaki atas dasar kerja dan perkara-perkara penting sahaja. Ini sudah pasti akan dapat menyelamatkanku dari segala fitnah sekiranya diri ini dilihat bersama lelaki ajnabi. Pada hakikatnya, berdasarkan pemerhatianku, memang rakan-rakan lelaki suka bergaul rancak dengan rakan-rakan perempuan lain yang berpenampilan cantik dan tidak pula dengan perempuan yang berpenampilan biasa sepertiku. Kenapa situasi ini terjadi? Lantaran itu, wujud pelbagai persoalan dalam diri ini. Perasaan sedih dan ingin tahu berpadu menjadi satu. Hati bermonolog sendirian, 'Apakah kekurangan diri ini yang bisa meletakkan diri di tahap itu.' 

Kemusykilan ini telah diluahkan kepada seseorang yang arif yang boleh mendengar perkongsian jiwa dan dapat memberikan nasihat yang membina. Katanya "Usah bersedih, ini semua hikmah di sebalik apa yang kamu pertahankan selama ini." Jawapan ringkas ini meyebabkan diri kebingungan, apakah maksud di sebalik kata-kata itu. Tatkala melihat diri seolah tidak mengerti, beliau terus menyambung bicara dan menghuraikan satu persatu bagi setiap yang berlaku supaya jawapannya dapat difahami dengan jelas. Setelah mendengar penjelasan itu, hati sedikit berbunga. Persoalan sudah pun terjawab. Menurut kata-kata beliau,"Kamu ingin tahu kenapa lelaki tidak mendekati diri kamu?, kerana sebenarnya dia segan untuk mendekati perempuan yang menjaga auratnya, mana mungkin dia dapat bertegur dengan galak sedangkan dia tahu kamu bukan seperti perempuan kebanyakan sebab itulah dia berurusan atas dasar kerja sahaja. Kemudian kenapa kamu tidak dapat perhatian lelaki?, bukan kerana kamu tidak cantik tetapi disebabkan penampilan menutup aurat kamulah menyebabkan lelaki tidak memandang kamu dengan berlebihan. 

Kamu risau kerana tidak pandai bersosial, itu adalah sebaiknya kerana Islam melarang wanita keluar dari yang bertujuan untuk perkara yang tidak bermanfaat. Jadi adalah elok bagi kamu berada di rumah dan menyiapkan tugasan kamu. Selain itu, kamu merasa kamu tidak cantik dan berasa rendah diri kerana penampilan kamu yang agak ketinggalan zaman. Sebenarnya tidak, pemakaian sebeginilah yang dituntut syarak. Dalam hadis ada menyatakan: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan dan amalan-amalan kamu" Biarpun pakaian luaran tidak cantik tetapi pakaian dalaman itu yang harus dicantikkan dahulu kerana Allah menilai hati kamu bukan paras rupa. Jadi kamu tidak perlu bersusah-payah berusaha mencantikkan diri bagi memancing mata lelaki untuk, tetapi hiasilah diri kamu dengan akhlak yag mulia mengikut acuan A-Quran dan As-Sunnah. Ini sudah pasti dapat membiaskan kecernihan pada wajah kamu secara langsung mejadikan kamu bukan sahaja cantik luaran tetapi dalaman juga.

" Kamu bimbang jika tidak mencari pasangan sekarang kamu tidak akan berkahwin?, jawapannnya tidak. Bukankah kamu yakin dengan janji Allah menerusi firmanNya yang bermaksud: "(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik." Jika kamu menjauhi percintaan sebelum kahwin ini juga dapat mengelakkan dirimu daripada berlakunya penzinaan. Bertepatan dengan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti." 

 Di sini jelas bahawa Allah telah mengaturkan pasangan yang sesuai bagi setiap umatNya. Setelah meneliti jawapan yang diberikan oleh beliau, barulah dapat difahami kata-kata beliau sebentar tadi iaitu "Usah bersedih, ini adalah hikmah di sebalik apa yang kamu pertahankan selama ini." Maksud mempertahankan di sini ialah mempertahankan memakai pakaian menutup aurat, tidak mudah terikut dengan cara pemakaian rakan-rakan yang lain. Jika diri tidak kuat sudah pasti akan diikutkan sahaja gelojak nafsu berbisa itu. Dan hikmahnya ialah diri ini dapat terhindar daripada segala kemungkaran.

 Oleh itu, dapatlah diri ini membuat kesimpulan bahawa menerusi pemakaian yang menutup aurat seperti bertudung labuh dan berjubah inilah yang akan menjamin pembentukan sakhsiah diri yang mampu menjadi benteng segala kemungkaran. Pasti ramai yang akan mengatakan pakai tudung labuh dan berjubah pun belum tentu hatinya baik. Tetapi jika wanita yang berpakaian sebegini benar-benar menjaga batas-batas yang digariskan syarak sudah pasti akan menggapai martabat wanita solehah disertai dengan perhiasan akhlak yang indah. 

Ini kerana dari pemakaian luaranlah yang akan membentuk peribadi akhlak dalaman. Wahai Muslimah harapan, coretan kisah ini bukan berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa. Tetapi coretan ikhlas sebagai pengetuk minda yang terleka dengan permainan duniawi disamping nasihat yang membina. Tahniah diucapkan kepada Muslimah yang dapat memelihara auratnya, semoga terus istiqomah. Manakala selamat datang pula bagi yang mula menyemai kasih untuk menutup aurat. Ruang untuk kamu berubah masih luas. Bersegeralah meraihnya sebelum nafasmu hilang bicara. Nescaya kamu juga akan menjadi wanita seindah perhiasan yang akan beroleh banyak hikmah yang tidak dapat disangkal darinya.

Rabu, 9 Mei 2012

Muslimah Dan Kerja Dakwah

Wanita sama seperti pemuda dalam kewajiban berdakwah kepada Allah dan beramar ma`ruf nahi mungkar.Dalil-dalil dari Al-qur`an dan Sunnah mencakup semuanya, kecuali yang dikecualikan oleh dalil. Ucapan para ulama juga jelas dalam hal itu. 

Diantara dalil dari Al-qur`an tentang hal itu: “Kaum mukminin dan mukminat, sebagian mereka adalah penolong bagi sebagian lainnya. Mereka menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar.” (At-Taubah : 71)

 “ Kalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan bagi manusia. Kalian menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang mungkar serta kalian beriman kepada Allah.” (Ali Imran : 110)

 Hendaknya wanita itu berdakwah kepada Allah dengan adab-adab yang sesuai dengan syari`at yang juga dituntut dari para pemuda. Wanita itu juga harus sabar dan mengharap pahala dari Allah: “ Bersabarlah kalian, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Al-Anfal : 46) 

Dan juga firman Allah azza wajalla yang menceritakan ucapan Luqman kepada anaknya: “Wahai anakku, dirikanlah sholat, suruhlah kepada yang ma`ruf, laranglah dari yang mungkar dan bersabarlah engkau menghadapi apa yang menimpamu, kerana itu adalah perkara yang diwajibkan Allah.” (Luqman : 17) 

Kemudian dia juga hendaknya memperhatikan beberapa perkara, seperti: dia harus menjadi tauladan dalam menjaga iffah (kehormatan), hijab dan amal sholih. Hendaknya dia menjahui tabarruj dan ikhtilath (bercampur-baur antara pemuda dan wanita yang bukan mukhrim) yang itu adalah terlarang hingga dia berdakwah dengan ucapan dan perbuatan dalam meninggalkan apa yang diharamkan Allah atasnya. (Ini jawaban atas soal: Apakah pendapat Anda antara wanita dan dakwah?) 

Persoalan yang timbul ialah Apakah perlu disediakan masa untuk wanita agar dapat berdakwah kepada Allah? Jawapan saya, Saya tidak ada larangan dalam hal itu. Jika ditemui ada wanita sholihah yang boleh berdakwah, maka selayaknya dia dibantu, diatur waktunya, diminta darinya untuk membimbing para wanita sejenisnya, kerana memang para wanita memerlukan  kepada para pembimbing wanita. Adanya wanita seperti ini di kalangan wanita lainnya kadang lebih bermanfaat dalam menyampaikan dakwah untuk mengajak kepada jalan yang benar daripada pemuda. Kadang wanita- wanita itu malu bertanya kepada da`i yang pemuda, sehingga dia menyembunyikan apa yang seharusnya dia tanyakan. Kadang pula dia terlarang untuk mendengarkan dakwah dari pemuda. Namun jika da`inya wanita, dia tidak demikian. Kerana dia bisa berdekatan dengannya dan menyampaikan apa yang perlu baginya serta hal itu lebih besar pengaruhnya.

Maka wanita yang memiliki ilmu hendaknya menjalankan kewajiban dakwah ini dan membimbing kepada kebaikan semampunya berdasarkan firman Allah: “Ajaklah mereka kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan nasehat yang baik serta debatlah mereka dengan cara yang paling baik.” (An-Nahl : 125) 

“Katakanlah: Inilah jalanku, aku berdakwah kepada Allah berdasarkan bashiroh (ilmu), aku dan orang yang mengikutiku.” (Yusuf : 108)

 “Dan siapakah yang lebih baik ucapannya daripada orang yang berdakwah kepada Allah dan beramal sholih dan dia mengatakan: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (Islam).” (At-Taghabun:16) 

Dan juga firman Allah S.W.T: “Maka bertaqwalah kalian semampunya.” (Fushilat : 33) 

Ayat-ayat yang semakna dengan ini cukup banyak. Mencakupi pemuda dan wanita dan hanya Allah lah yang memberikan taufiq.

Catatan Popular